Friday 29 January 2016

Perang Saudara Selangor 1866-73 (part 1)

Raja Mahadi iri hati atas kejayaan dan keuntungan Raja Abdullah dalam perusahaan perlombongan bijih timah dan cuba menuntut hak beliau ke atas Lembah Klang, tetapi ditolak oleh Sultan Abdul Samad.

Bagi mengelakkan sebarang kekecohan, Raja Abdullah bersetuju membayar wang sagu hati setiap bulan kepada Raja Mahadi, tetapi Raja Mahadi berpendapat bahawa beliau sepatutnya menerima sekurang-kurangnya setengah daripada hasil pendapatan daerah Klang. Beliau membuat tuntutan kepada Sultan Abdul Samad tetapi ditolak, dan Sultan Abdul Samad menasihatkan Raja Abdullah supaya menghentikan terus bayaran sagu hatinya.

Raja Abdullah dan Sultan Abdul Samad merupakan pembesar keturunan Bugis. Hubungan antara orang Bugis dengan orang Melayu Sumatera sudah renggan sejak abad ke-18 lagi kerana mereka sering berperang untuk menyebelahi raja masing-masing dalam merebut kuasa kerajaan di Johor dan Riau.

Terdapat satu pergaduhan antara orang Melayu Sumatera dan orang Bugis yang menyebabkan seorang bernama Panchik Rasul mati dibunuh. Orang Melayu Sumatera menuntut Raja Abdullah menghukum pembunuhnya, tetapi ditolak. Orang Melayu Sumatera mencari Raja Mahadi untuk menawarkan bantuan jika beliau sanggup berperang melawan Raja Abdullah. Raja Mahadi juga disokong oleh Kongsi Gelap Ghee Hin dan anak-anak Bendahara Wan Mutahir.


Pada akhir tahun 1866, Raja Mahadi berjaya menawan Klang dan memaksa Raja Abdullah berundur ke Melaka. Raja Abdullah menerima kekalahan apabila dijanji Raja Mahadi bayaran $500 sebulan hasil kutipan cukai. Raja Mahadi menimbulkan kemurkaan Sultan Abdul Samad apabila beliau menghentikan bayaran bulanan seperti yang dijanjikan. Sultan memutuskan pertunangan puterinya, Raja Arfah dengan Raja Mahadi, dan mengkahwinkan puterinya kepada Tengku Kudin.

---
References:

Ruslan Zainuddin. (2004). Sejarah Malaysia. Kursus Komprehensif Fajar Bakti. 2e

No comments:

Post a Comment